Monday, 18 July 2011

TURUN BERAKSI DENGAN TETAMU ISTEMEWA



Kelmarin Ahad turun bersama Pegawai Daerah menduga beberapa lubuk dan padang tempur. Tanpa mempunyai agenda lubuk yang khusus untuk diduga, saya mengikut naluri kemana sahaja asal dapat melayan tetamu istemewa pada trip kali ini. Tetamu yang dimaksudkan adalah seorang pegawai tertinggi di daerah ini iaitu Pegawai Daerah Sipitang, yang berkongsi minat beraksi di laut.

Kami turun sekitar jam 6 pagi, dan saya menyediakan peralatan seawal jam 5.30 pagi supaya masa dapat dijimatkan. Kami bertolak dan terus mencari lubuk umpan hidup yang memang terkenal dengan simpanan tetap yang banyak. Air agak masih cetek menyebabkan beberapa kali kipas engin terhantuk dan terhanggut-hanggut. Tebaran pertama membuktikan petanda yang baik seekor udang bersaiz KING meronta. Tebaran demi tebaran memang menghasilkan umpan yang dihajati.

Kami segera ke lubuk pertama sebuah 'lawa-lawa'/unjam tingggal, tetapi malang tidak berpenghuni. Kami ternampak nelayan bertahan di sebuah lubuk diikuti dengan rakan mereka yang sibuk membuat tundaan mencari pemangsa ganas ' tenggiri'. Kami tidak mahu ketinggalan, tetapi hasilnya juga agak menghampakan.

Saya memujuk hati untuk menuju ke sebuah kapal besar di tengah laut. Disebabkan ombak agak ganas kami terhanguk-hanguk dihempas badai, kesabaran tetamu saya hari ini, pancing apollo beliau menghasilkan ikan merah sebesar tapak tangan orang dewasa.

Agak kecewa dengan hasil yang kurang memberangsangkan, saya membawa bot ke sebuah lagi kapal yang agak baru berlabuh. Dalam perjalanan saya teringat gewang 'strike pro' yang dibawa oleh tetamu saya dan saya menggunakan kesempatan dalam perjalanan melabuhkan gewang sambil trolling. Tanpa semena-mena kekili meraung bagaikan seorang bayi menagih susu...tetamu sata sempat bertanya apa ramalan gerangan yang menyambar gewang...saya menjawab...antara tenggiri atau baracuda ...Setelah tali habis dikarau...hasilnya seekor ikan tenggiri remaja menyambar gewang yang hampir 'missed' sudah ditakdirkan sebagai rezeki kerana meskipun hanya tertancap pada belakang ia dapat dinaikkan secara perlahan-lahan. Ini lah satu-satu nya hasil kami hari ini.

Dalam perjalanan balik kami singgah di sebiuah 'lawa-lawa' yang agak baru. Jika tidak silap kedudukan lawa-lawa ini adalah tempat ikan cermin bermain suatu masa dahulu. Mungkin minggu hadapan trip melawat lubuk ini akan dicuba!

Namun jika ada umpan hidup seperti kembong atau tamban, pasti hasil mungkin berbeza. Setelah melihat kepada jam menghampiri 11;15 pagi kami mengakhiri trip kami dan kembali ke pangkalan.

Perkataan yang selalu diucap setiap pemancing..nanti kita atur lagi trip...

0 comments:

Post a Comment